~Merawat Keaiban~

Posted in Uncategorized on December 8, 2009 by perkongsian

Baru-baru ni sewaktu mengikuti program TOT dan KMK Wilayah Utara, seorang sahibah mengemukakan satu persoalan yang pada pandangan saya, ia mengingatkan kembali kepada sesetengah perkara yang kita mungkin terlupa.

Dalam kesibukan menguruskan program, belajar, dan sebagainya, mungkin kita terlupa untuk membaiki kelemahan – kelemahan yang menjadi darah daging kita sedari kecil.

Berbalik kepada soalan sahibah saya tadi, seorang ustaz menjawab pertanyaan kami.

“Dalam merawat keaiban, perlunya kita pada murabbi (orang yang kita rujuk)  mithali.

Kerana kita tidak mengetahui semua keaiban kita, di sinilah gunanya seorang murabbi untuk menegur dan mendidik kelemahan kita.

Ataupun, mungkin kita tahu akan keaiban kita, tetapi tidak mengetahui bagaimana hendak merawatnya.  Melalui murabbi yang kita thiqah (yakin akan kewibawaannya) inilah, kita bertanya tentang bagaimana kita perlu membaiki keaiban yang tertanam dalam diri kita.”

Sambung ustaz lagi,

“Manhaj yang rabbani juga amat penting dalam rawatan kelemahan diri kita iaitu Quran dan hadith yang merupakan panduan terunggul ataupun sebagai ‘medicine transcript’ daripada Doktor yang paling mengetahui penyakit luar dan dalam diri kita.

Tapi, mungkin tidak cukup dengan hanya dengan membaca terjemahan quran memandangkan kita bukanlah dari golongan bangsa Arab, maka susulilah dengan tafsir- tafsir ulama’ mu’tabar, seperti tafsir fi zilal, tafsir ibnu kathir dan juga karangan – karangan ulama’ yang lain.”


Dan yang terakhir, perlunya kita kepada biah yang solehah (suasana yang baik).

“Kerana hati yang sentiasa ditembak dengan panahan jahiliyah mungkin tidak mampu bertahan lama.  Oleh itu, jika kita tiada kekuatan untuk terus bertahan di tempat yang larut dengan suasana yang lagha, maka carilah suasana yang baik yang boleh meningkatkan keimanan kita.”

Allahlah Perawat Terbaik kepada semua penyakit dan kelemahan diri kita. KepadaNya kita memohon hidayah dan taufiq untuk meningkatkan jiwa dan keimanan kita..

P/s: Ustaz ada lagi bagi tips-tips merawat keaiban ni.. Insya Allah saya akan kongsikan dengan kalian pada post akan datang.


.::Segeralah berbuat kebaikan::.

Posted in Uncategorized on November 15, 2009 by perkongsian

Hisyam bin Ammar pernah meriwayatkan sebuah kisah dari Rabi’ bin Kharrasy al-Abasy. Rabi’ menceritakan, ” Suatu hari adikku Ar-Rabi’ bin Kharrasy sakit tenat.  Aku lalu menziarahinya.  Tidak lama selepas itu, dia meninggal dunia.  Lalu kami bergegas menguruskan jenazahnya. 

allahuakbar

Ketika aku membuka penutup wajahnya, tiba-tiba jenazah adikku berkata “Assalamualaikum…”

Kami tersentak dan terkejut, lalu kami menjawab, “Waalaikumussalam..”

Kemudian aku bertanya, ” Adikku, bukankah kamu telah meninggal dunia?”

“Ya, memang aku telah meninggal dunia.  Baru sahaja aku bertemu dengan Allah.  Allah telah memberikanku wangian dan angin serta udara yang segar. 

Allah tidak marah.  Aku jua diberi pakaian yang dibuat daripada sutera yang berwarna hijau. 

frozen-heart

Lalu Aku memohon kepadaNya agar diizinkan untuk memberi khabar gembira ini kepada kalian, dan Allah pun mengizinkanku. 

Kenikmatan dan kehidupan selepas hidup di dunia ini benar-benar wujud. 

Oleh kerana itu, bergegaslah kalian untuk berbuat baik, dekatkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya, bergembiralah dan jangan sesekali lari dari rahmatNya.” kata adikku.

Kemudian dia meninggal dunia semula.

~Tercatat dalam buku Al-Ba’ts dan juga terdapat dalam tulisan Ibnu Abid Dunya di dalam kitabnya Man’asya Ba’dal Maut~

Hidayah ~ Hadiah teristimewa dariNya

Posted in Uncategorized on November 11, 2009 by perkongsian

Pagi tadi, pakcikku ada bercerita sedikit tentang musibah yang melanda saudara kita di Padang..  Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi peluang keamanan, keselamatan dan kemakmuran kepada kita..

Setiap mehnah yang berlaku sebenarnya menghadiahi jutaan hikmah kepada diri kita..  Kerana Al-Khaliq itu Maha Tahu dan Maha Halus terhadap hamba-hambaNya..

Padang

Balik semula kepada sedikit cerita pakcikku tadi, antara yang menyedihkan apabila bersama dengan salah seorang mangsa bencana ini, adalah apabila disebut tentang kekuasaan dan Rahimnya Allah ini, mereka membalas balik dengan berkata,

“Mana ada Tuhan, pak? Jika Dia ada, mengapa Dia bikin kita semua seperti ini?”

Mashaallah, begitu senang roh tauhid itu dicampak ke dalam hati manusia, maka dengan begitu mudah pula Allah mencabutnya dari jiwa kita..  Na’uzubillahiminzalik..

Bila mendengar cerita pakcikku ini, diri ini mula terfikir, sejauh manakah Aku menjaga hidayah yang diberikan olehNya kepadaku?

Tapi Aku bersyukur sekali, walaupun kadang – kadang Aku berlari meninggalkanNya, alpa dan lalai dariNya, tetapi Ar-Rahman tidak pernah sekali meninggalkan hambaNya ini..

Bila melakukan dosa, diberinya rasa bersalah dan ingin kembali kepadaNya..

Bila terlalu leka dengan kecantikan sementara dunia, disedarkan semula dengan embun kasih sayangNya..

Alhamdulillah, Allah masih sudi mengawasi diri ini setiap detik dan tidak pernah meninggalkan kita walaupun lebih singkat dari pantasnya kerdipan mata..

Moga Allah memelihara kita

Namun benar, untuk mendapat hidayah Allah bukannya seperti magic, ‘tink’ ~ terus beriman..

Ia harus datang dengan usaha dan ikhtiar, berdoa dan munajat kepadaNya..

Tapi kita perlu ingat, hidayah itu bukan di tangan kita, tetapi berada dalam genggamanNya..

Seperti Abu Talib, orang yang sangat dikasihi Baginda SAW, beliau mati dalam keadaan kufur kepada Allah Taala..

Walaupun Nabi dengan terus menerus berbisik kalimah tauhid di telinga bapa saudara yang sangat dicintainya..

Namun Allah mahu menyedarkan kekasihNya bahawa Ya Muhammad, hidayah itu adalah di tanganKu, Aku yang berkuasa memberikan kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan Aku berhak menariknya kembali..

Moga kita semua sentiasa berada di bawah pengawasanNya..  Sahabat, jagalah hidayah yang Allah hadiahkan kepada kita, kerana tidak semua orang dapat kelebihan ini.. Dan teruskanlah perjuangan kalian untuk meyebarkan hidayah ini kepada orang lain..

Moga kalian dirahmati sentiasa.. :)

- Ilmu : 1 Anugerah -

Posted in Uncategorized on October 29, 2009 by perkongsian

Antara nikmat terbesar dari Ar – Rahman kepada hambaNya yang bergelar manusia, adalah ilmu yang menjadi khazanah yang tidak pernah surut buat selama – lamanya..

Kerananya, para malaikat yang tidak pernah melakukan dosa dan ingkar kepada Pencipta, sujud kepada Bapa kepada semua manusia, Adam ‘Alaihissalam yang hanya diciptakan daripada tanah..

Dan kerananya juga, kita terpilih untuk menjadi pemerintah dunia hingga ke akhir zaman..

Namun, jangan kita lupa..  Ilmu tanpa roh tauhid boleh membinasakan..  Boleh meruntuhkan tamadun yang megah, serta merosakkan manusia yang dahulunya sudah berikrar janji di alam azali untuk mentaati Allah SWT..

Bagaimanakah roh tauhid dicabut dari ilmu?  Bukankah ianya berasal dariNya?

Itulah orang – orang yang menuntut ilmu, tetapi bukan kerana mentaati perintahNya, malah bukan untuk meningkat ketaqwaan jiwa..

Tetapi kerana ingin mengejar matlamat duniawi yang hanya sementara dan sangat fana..  Memburu janji – janji manis dunia sehinggakan al haq dipisahkan daripada ilmu itu sendiri..

“Ialah, kalau kita tidak belajar, cercaan dan hinaan manusia sudah pasti menjadi pakaian kita..”

“Malah, kalau kita tidak belajar, nanti macam mana kita nak sara hidup kita sendiri?”

“Kalau belajar tinggi – tinggi, bolehlah dapat kerja yang hebat, jaminan gaji yang lumayan serta yang paling penting, semua orang akan mengagung – agungkan kita..”

Oleh sebab pemikiran dan pandangan manusia yang singkat dan hanya terhad kepada dunia sahajalah,

manusia terus – terusan belajar, namun tidak pernah mengenali siapakah sebenarnya pencipta ilmu..

Malah, semakin jauh dariNya..

Dan yang semakin parah, kemusnahan, kerosakan dan kebinasaan semakin berleluasa di alam ini..

Bukankah semakin kita berilmu, semakin kita tunduk kepadaNya, dan semakin mulia kita di sisiNya?

” Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat darjat orang – orang yang beriman di antara kamu dan orang – orang yang diberi ilmu beberapa darjat.  Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu lakukan..”  (58 : 11)

Moga Allah mengampun segala kealpaan kita serta menunjukkan kita kembali ke arah sabil yang diredhaiNya..

Pesanan buat diri yang tidak pernah terlepas dari kelemahan dan kesilapan ini serta untuk teman – teman yang sedang bertungkus lumus berjihad di medan ilmu, marilah kita bersama sama meraih ketinggian dan kemuliaan di dalam menuntut ilmu seperti yang dijanjikan olehNya..

Sesungguhnya, jalan untuk menuju ke jannah yang di luar batasan pemikiran manusia keindahannya tidak pernah dihamparkan permaidani merah ataupun pujian yang melangit daripada manusia..  Namun, kita akan meniti perjalanan yang meresahkan jiwa serta kadang kala kita mungkin rebah di tengah tengahnya..  Maka bangkitlah duhai teman, kerana janji yang pasti, sudah menunggu di penghujung jalanmu..  Wallahua’lam.

p/s : Mungkin post kali ini terlalu general dan sangat biasa untuk kita semua, namun harapnya ia menjadi salah satu stesen muhasabah kepada kita atau perhentian RnR sebelum kita kembali semula meneruskan musafir ini.. ;)

.::Wacana Lepasan MATRI 2::.

Posted in Uncategorized on October 23, 2009 by perkongsian

Alhamdulillah, Allah telah mengizinkan diri ini untuk kembali menulis setelah sekian lama merehatkan jari – jari ini..

Untuk pesanan murabbi 2 ini, mungkin lebih sedikit berbanding yang Dato’ Ustaz punye, sebab bila Sir yang  TERBAIK DALAM DUNIA ini berucap, saya susah sikit untuk mengalihkan mata darinya.

Seolah – olah terpegun dengan nasihat – nasihat yang sudah lama hati ini tertunggu-tunggu untuk mendengarnya..

...Sir Abdoh...

...Sir Abdoh...

Antara yang Sir pesan pada kami hari itu..

” Kita perlulah merasai bahawa kehilangan Islam adalah kehilangan segala-galanya..  Dan kita perlu merasa bertanggungjawab untuk kembalikan Islam ke mata dunia..

Oleh itu, janganlah sia-siakan potensi yang ada dalam diri antum.. Bangunkanlah Islam dan runtuhkanlah jahiliyyah..

Sepertimana kata Syed Qutb, ‘Islam itu naik di atas keruntuhan jahiliyyah’.

Islam dihina kerana jahiliyyah bangun.

Dan kata Syeikh Mustafa Masyhur, ‘ Islam tidak redha orang – orang Islam berserah diri kepada waqi’ (realiti).. Jika tiada waqi’ Islam, maka kita mestilah menjadi waqi’..”

Inilah antara pesan Sir Abdoh pada kami semua pada hari tu.. Mukanya penuh harapan, harapan dan cita – cita yang tinggi agar kita semua, rijal – rijal pejuang Islam bangkit dari pembaringan, sedar dari asyiknya lena dunia dan bergegas berjuang, kerana kita perlu sedar bahawa masa kita sudah tinggal sedikit..  Sedangkan tangunggjawab yang menanti, tersedia menggunung di hadapan kita..

Moga Allah memberkati kita semua dan sentiasa sudi untuk membimbing kita ke arah jalan yang diredhaiNya..

p/s : Maaf sangat -sangat.. mungkin ini terlalu sedikit untuk dikongsi dengan kawan – kawan dan sahabat – sahabat semua.. Susah untuk menulis dan menggambar sesuatu yang kita rasa sangat emosional tentangnya.. Moga Allah menilai amalan yang sedikit ini..

.::Pesan murabbi ~ Wacana Lepasan MATRI::.

Posted in Uncategorized on October 12, 2009 by perkongsian

Alhamdulillah, rasa bersyukur sangat dapat pergi wacana ni. Alhamdulillah masih dipanjangkan umur untuk berjumpa dengan Dato’ Ustaz Dahlan dan Sir Abdoh.  Terima kasih ya Allah..

Wacana Lepasan Pelajar MATRI

Wacana Lepasan Pelajar MATRI

Sedikit yang saya boleh kongsikan bersama tentang apa yang Dato’ Ustaz pesan kepada kami..

” Kekuatan kita adalah kekuatan Islam..Yang mana kekuatan inilah yang paling ditakuti dan digeruni oleh Zionis..  Dan yang paling penting, kita perlulah bergerak dan beramal dengan fikrah, kefahaman Islam yang jelas.”

.:: Ikrar janji ::.

.:: Ikrar janji ::.

Pesan Ustaz lagi dalam sabda Rasulullah S.A.W..

“Jika hari ini kita sama seperti hari semalam, maka rugilah kita.. Maka gunakanlah masamu sebaiknya.. Sepertimana kamu bekerja di dunia seperti kamu hidup di dunia selama-lamanya dan kamu beribadah seolah-olah kamu akan mati pada esok hari..  Yang pastinya, tidak mungkin kamu akan hidup selama-lamanya, tetapi jika kamu akan mati pada hari esok adalah kemungkinan yang sangat pasti..Maka utamakanlah akhiratmu..”

Dato’ Ustaz juga berpesan..

” Hidup ini perlu ada tanzim/tersusun supaya kita tidak berada dalam kerugian.. Seimbangkanlah amalanmu, di mana ada masanya kamu bekerja, dan ada masamu solat, berzikir dan berwirid..”

.::Dato' Ustaz Dahlan..murabbi selamanya::.

.::Dato' Ustaz Dahlan..murabbi selamanya::.

“Hidup ini bukanlah masa untuk kita bermain-main..  Bersedialah kerana hari keberangkatan semakin hampir..  Carilah bekalan kerana safar kita jauh dan sebaik-baik bekalan adalah taqwa..  Ringankanlah kesusahanmu yang berat kerana deen ini juga berdepan dengan kesusahan kerana keadan sekarang yang dikuasai oleh orang-orang yang zalim dan pemimpinnya dikuasai oleh orang-orang yang fasiq..Orang-orang yang mengajak kepada ma’ruf dizalimi dan disekat.. Oleh itu bersedialah! Jadilah arus perubah!”

~ Time makan pagi ~

~ Time makan pagi ~

Begitulah sebahagian pesan murabbi kepada anak-anak didiknya..  Peringatan yang berguna untuk selama-lamanya.. Alhamdulillah Allah masih bagi kesempatan untuk mendapat sedikit mutiara daripada ustaz yang mana sekarang ini sudah semakin sukar untuk saya mendapatkannya..

p/s : Insya Allah pesanan dari Sir Abdoh akan menyusul kemudian..Yang Dato’ Ustaz Dahlan punye pun tak berapa lengkap sangat disebabkan saya asyik terkenang memori lama sewaktu mendengar nasihat ustaz.. ;)

Benarkah kepercayaan kita?

Posted in Uncategorized on September 30, 2009 by perkongsian

” Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah” (QS. 2:165)

Sangat ringkas peringatanNya kepada kita, namun adakah kita benar2 cinta kepadaNya sebagai tanda keimanan yang tertanam di dalam jiwa kita?

Kita mengucapkan Alhamdulillah, sedangkan hati kita masih memuja perkara – perkara yang  sangat sementara dan malah tidak membawa apa – apa manfaat kepada diri kita.

Kita melaungkan Allahuakbar, namun secara tanpa sedar ada perkara yang lebih besar mendiami hati kita..

Sahabat, janganlah kita hanya berikrar iftitah 5 kali sehari namun kosong penterjemahannya ke dalam kehidupan kita.. Hanya sekadar janji – janji palsu yang kita ucapkan di hadapan Allah ketika menghadapNya..  Seolah – olah seperti kita menenangkan anak – anak yang kecil yang menangis dengan kata – kata yang manis..

Seperti yang disebutkan Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam karangannya ” Iman dan Kehidupan”, ” Sesungguhnya iman itu bukanlah semata – mata penyataan seseorang dengan lidahnya, bahawa dia beriman, kerana banyak orang yang munafiq yang mengaku beriman sedang hatinya tidak percaya sebagaimana yang disebut di dalam firmanNya..

bgsingle_red_rose “Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”, padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.” (2:8 – 9)

Marilah kita buktikan bahawa sebenarnya keimanan kita berbunga mekar dan berbuah, serta bersamalah mengajak saudara – saudara kita untuk tidak ketinggalan merasai kemanisan iman ini..

Semoga Allah redha dengan kita..

Ceramah Palestin

Posted in Uncategorized on September 8, 2009 by perkongsian

PalestinPalestin2

Renungan dari kalamNya..

Posted in Uncategorized on September 7, 2009 by perkongsian

” Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.  Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (3:185)

~ Cukuplah kematian sebagai pemberi peringatan, cukuplah kematian sebagai penyebab sedihnya hati dan menangisnya mata sebagai pemisah kita dari para manusia, sebagai penghancur segala kenikmatan dan pemutus segala angan-angan.. ~

Ikhlaskah kita?

Posted in Uncategorized on August 29, 2009 by perkongsian

Pagi tadi semasa sedang berbincang dengan seorang makcik dan beberapa rakan-rakan yang lain, makcik menyentuh soal keikhlasan.

Kata makcik, amalan ikhlas itu ada 3 bahagian.

Pertama, amalan seorang hamba – kita beribadah kepadaNya kerana takut kepadaNya..

Seterusnya, adalah amalan seorang saudagar – kita beramal kerana mahu mendapat pahala, contohnya seperti pahala menghidupkan malam lailatul qadar, pahala puasa enam aidilfitri dan sebagainya..

Dan yang terakhir adalah, amalan seorang yang merdeka – iaitu kita beribadah kerana menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba..

Contoh yang terdekat adalah Rasulullah SAW..  Baginda beribadah sehingga bengkak kakinya..  Dan apabila ditanya oleh isteri kesayangannya, Aisyah R.A, baginda menjawab, ‘ Salahkah Aku menjadi orang yang bersyukur.’..  Kerana rasa syukur dan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba Allah, baginda beribadah dengan penuh khusyuk dan bersungguh-sungguh kepadaNya.

Yang terakhir inilah kata makcikku, maqam keikhlasan yang tertinggi..

Namun maqam-maqam yang lain, amalan kita tetap diterima di sisiNya..

Janganlah biarkan amalan kita menjadi ‘habbaan mansuuraa’, iaitu amalan yang diibaratkan sebagai debu-debu yang berterbangan.. Tiada nilai di sisiNya..

Atau lebih teruk lagi, seperti amalan orang-orang kafir seperti yang disebut dalam firmanNya..

” Dan orang-orang kafir, perbuatan mereka seperti fatamorgana di padang pasir, yang disangka air bagi orang-orang yang dahaga, tetapi apabila didatangi tidak ada apa-apapun.” (24:39)

Moga amalan – amalan kita berada dalam pandanganNya..  Kerana Allah tidak pernah zalim kepada hamba – hambaNya, malah amalan yang baik mahupun buruk tetap tidak pernah terlepas dari hisabNya..

Subhanallah, Maha Telitinya Pencipta kita..

Akhir kalam, moga Allah redha dengan kita semua.. Meskipun amalan kita tersangatlah sedikit dan penuh dengan kelemahan, harapnya rahmat dan keampunanNya sentiasa hadir untuk kita, Insya Allah..